“Artis Bukan item…” – Seventeen Seungkwan Bersuara
Baru-baru ini, nama agensi Hybe terpalit dengan banyak kontroversi negatif. Sebagai salah seorang artis yang bernaung di bawah agensi itu, pastinya ahli Seventeen, Seungkwan berasa tidak senang..
Baru-baru ini, nama agensi Hybe terpalit dengan banyak kontroversi negatif. Sebagai salah seorang artis yang bernaung di bawah agensi itu, pastinya ahli Seventeen, Seungkwan berasa tidak senang.
Susulan itu, dia menulis satu kenyataan panjang di laman Instagram miliknya mengenai isu tersebut. Dia memohon agar pihak terbabit tidak terlalu mengaitkan kontroversi tersebut dengan hasil penat-lelah artis yang selama ini bekerja keras demi karier mereka.
Berikut adalah kenyataan dari Seungkwan:
“Saya tidak mahu melihat orang saling menyakiti lagi.
“Melihatkan semua yang telah berlaku setakat ini, saya cuba untuk tahan perasaan dan berharap semuanya akan berlalu, dan terus bekerja keras bersama ahli-ahli lain seperti biasa. Namun, melihatkan situasi ini tidak akan reda dalam masa terdekat, saya rasa saya tidak boleh terus berdiam diri demi semua rakan sekerja saya yang sedang bekerja keras pada saat ini, peminat saya, ahli kumpulan saya, dan semua orang yang terluka.
“Apa yang saya buat ini mungkin kelihatan seperti satu campur tangan (bagi sesetengah orang) atau seperti satu posting yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa namun, saya harus menjadi berani. Saya memilih untuk menjadi seorang selebriti dan walaupun saya menerima banyak sokongan dan kasih-sayang daripada peminat, saya tak rasa ini satu karier di mana kita kena bertahan sehingga boleh merosakkan diri, atau ‘melukakan’ diri sampai hampir menarik nyawa.
“Saya hanya ingin melakukan yang terbaik dan menunjukkan tanggungjawab untuk tugasan yang diberikan, untuk membalas jasa peminat yang menyokong saya, dan untuk menyebarkan aura positif yang boleh saya berikan dalam pelbagai cara. Maka, benar bahawa beban, tekanan, dan keletihan fizikal serta mental sangatlah besar dan sukar dijelaskan.
“Walaupun begitu, hidup perlu diteruskan. Ada yang melihatnya secara rasional, ada yang tersenyum dengan positif, dan ada yang, walaupun sukar, menyesuaikan diri dan entah bagaimana bertahan kerana kita memilihnya dan harus menanggungnya, tetapi hari ini, perkara itu terasa sangat keras dan kejam.
“Seperti ada hari yang cerah dan ada yang mendung, hari ini sangat mendung bagi saya. Saya juga ada hari-hari ketika saya cuba mengatasinya dengan positif. Saya juga ada hari-hari ketika saya cuba tersenyum tidak kira apa yang berlaku. Tetapi hari ini, itu tidak mudah, dan saya merasa kasihan kepada mereka yang sedang terluka saat ini. Saya juga sedih kerana saya tidak dapat nak memberikan sokongan dan memujuk mereka semua.
“Saya tertanya-tanya jika kata-kata saya yang tergesa-gesa dan canggung ini dapat memujuk seseorang, jika ia boleh menjadi satu kata semangat untuk sesiapa sahaja. Termasuk ahli-ahli kumpulan kita, rakan sekerja dan kawan-kawan yang saya kenali yang bekerja keras dalam industri besar K-pop ini adalah orang yang benar-benar menyukai pekerjaan ini dengan tulus.
“Kerana mereka sangat ikhlas, mereka juga terluka, dan kerana mereka begitu menyayangi, kadang-kadang mereka merasa kosong, tetapi masih, mereka hidup setiap hari memberi dan menerima cinta untuk diri mereka sendiri, ahli-ahli mereka, keluarga mereka, dan peminat mereka.
“Apa yang saya ingin sampaikan dengan jelas ialah kami bukan orang yang bekerja dengan begitu mudah dan lancar sehingga boleh dinilai dengan ringan. Kami telah mengalami cukup banyak kesakitan, hancur, dan entah bagaimana mengatasinya, berusaha dengan gigih untuk menunjukkan yang terbaik di atas pentas untuk peminat kami. Saya harap orang tidak memandang ringan terhadap idol.
“(Anda) tidak mempunyai hak untuk mudah mencampuri cerita kami. Bukan hanya kami, tetapi juga artis-artis lain, kami bukan milik anda. Saya harap anda tidak berfikir anda boleh menggunakan kami sesuka hati.
“Semua tenaga fizikal kami digunakan hanya dari satu minggu promosi rancangan muzik. Walaupun turut menangani iklan, acara, persembahan, dan aktiviti berjadual lain pada masa yang sama, terdapat ramai rakan sekerja hari ini yang menyapa saya dengan senyuman lebih cerah daripada saya. Setiap kali itu berlaku, saya tersenyum dan menyapa mereka kembali. Ini adalah apa yang saya mampu lakukan untuk mereka.
“Apabila mereka menyapa saya dengan senyuman ceria, saat itu sangat berharga dan saya bersyukur, dan walaupun hanya satu sapaan ringkas diikuti dengan sebaris mesej daripada rakan sekerja yang ditulis dalam album yang mereka berikan kepada saya memberikan saya kekuatan apabila saya penat. Saya hanya harap semua orang dapat bekerja tanpa terluka dan tetap sihat.
“Saya juga suka budaya ‘video challenge’. Sama ada kami rapat atau tidak, membuat ‘video challenge’ bersama, menari lagu masing-masing di tempat selain daripada pentas, adalah momen yang indah ketika kami berada di usia muda, mencipta kenangan kecil bersama. Lebih baik lagi jika peminat menikmati menontonnya. Walaupun kami tidak mengenali satu sama lain, saya suka bahawa kami boleh bertukar kata-kata semangat kecil mengatakan, “Hwaiting (awak boleh) untuk promosi,” dalam suasana canggung dan malu pada akhir penggambaran.
“Berjumpa dengan rasa hormat dan mampu membantu walaupun sedikit adalah bermakna dan sesuatu yang patut disyukuri.
“Saya berharap kita semua dapat menjadi lebih rapat. Menyokong, antara satu sama lain mungkin perkara boleh menjadi sedikit lebih baik. Saya benar-benar tidak mahu melihat sesiapa pun jatuh dan akhirnya menyerah kalah. Saya sangat berharap kita berhenti menyakiti antara satu sama lain. Saya tidak mahu melihat ahli kumpulan saya, semua rakan sekerja yang sedang bekerja keras saat ini, kakitangan yang bekerja dengan ikhlas untuk kami, dan peminat kami terluka lagi. Kepada peminat yang menyayangi kami dengan kehangatan pada saat ini, saya ingin mengucapkan maaf dan saya sayang anda semua,” katanya.
Baca juga.
Lee Junho Hangatkan Acara Pop-up CUCKOOTOPIA di Pavilion Bukit Jalil
Kemeriahan sambutan ulang tahun ke-12 CUCKOO Malaysia diteruskan dengan penuh bertenaga...
CUCKOOTOPIA 2026: Lee Junho, TokTi & Barisan Artis Hangatkan Ulang Tahun Ke-12 CUCKOO di Stadium Merdeka!
Stadium Merdeka kembali ‘hidup’ dan bergegar hebat apabila hampir 15,000 penonton membanjiri konsert mega CUCKOOTOPIA – Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12 Dihangatkan Oleh AMT 2026!
Mamamoo Gegar KL: Belum Malam Dah Lapar, Peminat Terhibur Gelagat ‘Millennial’ di Unifi Arena!
Selepas tiga tahun dinanti-nantikan, kumpulan vokal sensasi K-pop, Mamamoo, akhirnya kembali menggegarkan pentas Malaysia...






