“EXO-L Adalah Rumah Kami” – EXO Janji Akan Kembali Ke Malaysia ‘Soon’!
Konsert berprestij yang paling dinanti-nantikan oleh ribuan pendengar setia K-Pop, khususnya para EXO-L (fandom rasmi EXO), EXO Planet #6 – EXhOrizon in Kuala Lumpur…

Konsert berprestij yang paling dinanti-nantikan oleh ribuan pendengar setia K-Pop, khususnya para EXO-L (fandom rasmi EXO), EXO Planet #6 – EXhOrizon in Kuala Lumpur akhirnya melabuhkan tirainya dengan penuh sorakan pada Sabtu, 20 Jun lalu. Bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, lautan cahaya perak daripada lightstick memenuhi segenap ruang apabila dianggarkan seramai 15,000 peminat hadir menggegarkan stadium malam itu!

Pembukaan Epik & Nostalgia Bertahun
Tepat jam 8:00 malam, debaran penonton terhenti saat lima ahli kumpulan itu, Suho, Chanyeol, D.O, Kai, dan Sehun muncul di atas pentas membawakan lagu debut ikonik mereka, MAMA. Sebaik sahaja rentak pertama bergema, lautan EXO-L terus menggila dan menjerit dengan penuh keterujaan.
Tidak mahu membiarkan tenaga penonton menurun, EXO terus menghidangkan deretan lagu-lagu hit lama yang cukup dirindui. Daripada aura garang Monster dan Overdose, sehinggalah ke rentak rancak Gravity dan Playboy, persembahan mereka nyata tidak mengecewakan.
Suasana malam konsert juga seakan membawa penonton merentas masa apabila EXO mempersembahkan medley bertenaga yang merangkumi Ko Ko Bop, Call Me Baby, Power, dan Tempo. Mengimbau kembali memori para peminat yang sudah menyokong mereka bertahun-tahun lamanya, stadium bertukar gamat saat lagu hit fenomena Growl berkumandang. Namun, vokal mantap kumpulan ini turut mengundang sebak penonton apabila mereka menyanyikan salah satu lagu yang paling beremosi buat peminat, iaitu Don’t Go.

“Ujian” Khas Buat EXO-L & Pujian Menari
Sudah menjadi kebiasaan, bukan EXO namanya jika mereka tidak mengusik dan ‘menguji’ peminat sendiri! Dalam satu segmen interaktif, ahli kumpulan EXO bertindak memberikan mikrofon kepada penonton dan mencabar mereka menyanyikan lagu Peter Pan, Christmas Day, dan 365.
Malang buat EXO-L pada malam itu, ‘ujian’ tersebut gagal disempurnakan. Rata-rata peminat sudah pun kepenatan dan kehilangan suara akibat terlalu asyik menjerit seawal konsert bermula.
Walau bagaimanapun, kegagalan itu berjaya ditebus apabila dua orang peminat bertuah mempamerkan kelincahan langkah tarian (dance moves) mereka di hadapan skrin gergasi. Aksi spontan itu bukan sahaja memukau penonton, malah turut mendapat pujian melambung daripada ahli EXO sendiri!
“Korang menari lagi bagus dari saya,” puji D.O sambil tersenyum.
“Malaysia punya dance nombor satu setakat ini,” tambah sang maknae, Sehun, mengundang sorakan gemuruh seisi stadium.
Momen Syahdu: “EXO-L Adalah Rumah Kami”
Kemeriahan konsert bukan sahaja dirasai di dalam stadium. Suho, selaku ketua kumpulan, mengambil maklum dan menyedari kehadiran ribuan peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket namun tetap setia berkumpul di luar stadium.
“Saya rasa stadium ni boleh dengar sampai ke luar?” soal Suho kepada peminat. Dia meluahkan rasa lega kerana sekurang-kurangnya peminat di luar masih dapat mendengar suara mereka dengan jelas.

Detik paling manis pada malam tersebut pastinya berlaku sewaktu menantikan pentas encore. Semua EXO-L bersatu hati menyanyikan lagu Home, dan nyanyian harmoni itu ternyata sangat menyentuh hati Chanyeol.
“Masa bersedia untuk encore stage, kami dengar anda semua nyanyi lagu ‘Home’, sedap sangat. EXO-L adalah rumah kami,” luah Chanyeol, membalas rasa cinta dan dedikasi yang ditunjukkan oleh peminat Malaysia.
Janji Kembali & “Terima Kasehun!”
Sebelum melabuhkan tirai sepenuhnya, Suho sempat meniupkan rasa lega ke dalam hati setiap EXO-L apabila dia berjanji bahawa EXO akan kembali semula ke Malaysia ‘soon’. Tidak mahu ketinggalan, Kai turut memeterai janji tersebut dengan sebutan pelat comelnya, “jwanji”.
Menutup lembaran malam yang cukup magis dan penuh memori indah itu, kesemua ahli EXO memberikan tunduk hormat dan mengucapkan selamat tinggal dengan ungkapan ikonik dan melucukan khas buat peminat di sini, “Terima Kasehun!”

Komen
Memuatkan komen…
Baca juga.

Setelah Bertahun Menunggu, Akhirnya Kim Junsu (XIA) ‘Belanja’ Konsert 2 Jam Setengah di KL, Siap Mintak Durian Weh!
Rakyat Malaysia, khususnya peminat K-Pop second gen, akhirnya boleh menarik nafas lega! Setelah sekian lama menanti penuh kesabaran…

May ‘Diselamatkan’ Putera Mereka! Park Ji Hoon Curi Hati Peminat di Kuala Lumpur
Setelah sekian lama menanti, akhirnya peminat penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Park Ji Hoon berpeluang menyaksikan idola mereka beraksi secara langsung di Malaysia…

Kegembiraan & Tangisan Air Mata Isi Konsert APINK di Malaysia
Selepas lapan tahun menanti, kerinduan peminat K-pop tanah air terhadap kumpulan legenda, Apink, akhirnya terubat…
Paling Popular Minggu Ini
- 1

- 2

- 3

- 4

- 5K