Kegembiraan & Tangisan Air Mata Isi Konsert APINK di Malaysia
Selepas lapan tahun menanti, kerinduan peminat K-pop tanah air terhadap kumpulan legenda, Apink, akhirnya terubat…

Selepas lapan tahun menanti, kerinduan peminat K-pop tanah air terhadap kumpulan legenda, Apink, akhirnya terubat. Konsert siri kelapan mereka, [The Origin: APINK], yang berlangsung di Mega Star Arena baru-baru ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, malah menjadi medan pertemuan penuh emosi antara idola dan peminat setia grup tersebut yang turut dikenali sebagai Pandas.
Meraikan ulang tahun ke-15 dalam industri, lima ahli kumpulan tersebut iaitu Chorong, Bomi, Eunji, Namjoo, dan Hayoung membuktikan mengapa mereka masih relevan sebagai ikon generasi kedua yang kental.

Nostalgia “Pure-Concept” & Transformasi Mengejutkan
Konsert dimulakan dengan gelombang nostalgia yang cukup kuat. Mega Star Arena bertukar menjadi lautan merah jambu saat Apink membawakan lagu-lagu berkonsep suci (pure-concept) yang menaikkan nama mereka. Lagu-lagu seperti “NoNoNo,” “BUBIBU,” dan “MY MY” dinyanyikan bersama oleh ribuan peminat, membuktikan lagu tersebut masih menjadi lagu wajib (anthem) dalam genre K-pop.
Namun, suasana berubah drastik apabila Apink memperkenalkan alter-ego mereka, “A-Green”. Meninggalkan imej lembut, mereka tampil dengan estetik girl-crush yang sofistikated melalui persembahan bertenaga:
Dimulakan dengan lagu cover “Mirotic” nyanyian asal oleh kumpulan popular, TVXQ membuatkan Pandas semakin menggila! Persembahan diteruskan dengan lagu “Fizzy Soda” dan “I’m So Sick” dengan style “sexy” membuatkan ramai terpana!

Dekat di Hati Peminat Malaysia
Kehangatan konsert semakin terasa apabila ahli Apink menunjukkan usaha luar biasa untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Sorakan gemuruh memenuhi ruang arena setiap kali mereka menyebut perkataan seperti “Janji”, “Jerit”, dan “Hebat”. Usaha kecil ini membuktikan rasa hormat dan penghargaan mereka terhadap budaya tempatan Malaysia.
Ketika Namjoo meminta peminat jerit dan peminat berikan apa yang dia mahu, kelihatan muka penyanyi itu sangat berpuas hati dan membuatkan dia semangat untuk cuba ayat Bahasa Melayu yang lain.

Puncak Emosi: Air Mata di Pentas Encore
Suasana ceria bertukar syahdu semasa sesi encore. Sebuah video kejutan yang disediakan oleh peminat Malaysia memaparkan perjalanan 15 tahun Apink telah menyentuh hati setiap ahli.
Eunji dilihat paling terkesan sehingga gagal menahan air mata. Sambil menangis teresak-esak, beliau menzahirkan rasa syukur atas kesetiaan peminat yang sanggup menunggu selama lapan tahun untuk kepulangan mereka ke Malaysia.
“Terima kasih kerana tidak pernah berputus asa menunggu kami,” ujar mereka dalam nada penuh emosi.
Malah ketika dia diusik oleh ahli-ahlinya yang lain, dia masih lagi mengalirkan air mata.
“Malaysia gempak gila sebab berjaya buat Eunji unnie menangis,” usik Namjoo
Penutup Yang Bersemangat
Sebelum melabuhkan tirai dengan lagu “Up To The Sky”, Apink sempat memberikan janji manis untuk kembali semula ke Malaysia dengan lebih pantas pada masa hadapan. Jelajah ini akan diteruskan ke Manila sebagai destinasi terakhir.
Ternyata, konsert [The Origin: APINK] di Kuala Lumpur bukan sekadar persembahan teknikal, tetapi sebuah bukti cinta antara artis dan peminat yang tidak luntur dek zaman.

Komen
Memuatkan komen…
Baca juga.

Setelah Bertahun Menunggu, Akhirnya Kim Junsu (XIA) ‘Belanja’ Konsert 2 Jam Setengah di KL, Siap Mintak Durian Weh!
Rakyat Malaysia, khususnya peminat K-Pop second gen, akhirnya boleh menarik nafas lega! Setelah sekian lama menanti penuh kesabaran…

“EXO-L Adalah Rumah Kami” – EXO Janji Akan Kembali Ke Malaysia ‘Soon’!
Konsert berprestij yang paling dinanti-nantikan oleh ribuan pendengar setia K-Pop, khususnya para EXO-L (fandom rasmi EXO), EXO Planet #6 – EXhOrizon in Kuala Lumpur…

May ‘Diselamatkan’ Putera Mereka! Park Ji Hoon Curi Hati Peminat di Kuala Lumpur
Setelah sekian lama menanti, akhirnya peminat penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Park Ji Hoon berpeluang menyaksikan idola mereka beraksi secara langsung di Malaysia…
Paling Popular Minggu Ini
- 1

- 2

- 3

- 4

- 5K